SEREMBAN: SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menasihatkan orang ramai supaya menguruskan sisa bunga api dan mercun dengan lebih teratur selain tidak memasukkan bahan itu ke dalam tong sampah komunal di kawasan berhampiran masing-masing.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata tindakan berkenaan akan menyebabkan tong sampah rosak akibat terbakar sekali gus menyukarkan pekerja pembersihan untuk melupuskan sisa domestik.

"Dalam kemeriahan menyambut perayaan Aidilfitri bersama sanak-saudara dan keluarga serta rakan taulan, ada kemungkinan orang awam bermain bunga api dan mercun... terdapat kejadian sebelum ini tong sampah rosak terbakar akibat daripada mercun dibakar di dalamnya.

"Penggantian tong sampah segera dibuat bagi mengelakkan penduduk membuang sampah merata-rata tempat sehingga mencemarkan persekitaran.

"Tindakan vandalisme bukan sahaja melibatkan kos penggantian tong sampah malah menyukarkan orang ramai melupuskan sisa domestik," katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk bersama-sama menjaga kemudahan tong sampah yang disediakan dengan menguruskan sisa mercun dengan baik atau tidak membakar mercun di dalam tong sampah berpusat atau tong sampah beroda.

Beliau berkata masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan saling menasihati dan mengingatkan antara satu sama lain supaya tidak melakukan vandalisme kerana ia boleh mengundang risiko keselamatan kepada orang lain serta mencetuskan perkara lebih besar.

-- BERNAMA