SHAH ALAM: Fenomena 'Arus Karau' atau lebih dikenali 'rip current' iaitu ditarik arus deras secara tiba-tiba masih belum diberikan perhatian oleh rakyat di negara ini.

Seorang pengguna Facebook, Sabri Mamat berkongsi info mengenai fenomena tersebut di laman Kuala Terengganu Residen susulan kes seorang lelaki, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, dibawa arus ombak ketika beriadah bersama isteri dan dua anak perempuannya di Pantai Batu Buruk, Terengganu pada Ahad.

Menurutnya, perkara tersebut sudah didedahkan oleh Profesor Madya Mohd Fadzil Mohd Akhir, Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Jadi tuan-tuan kena tahu perkara ini, perhatikan baik-baik gambar-gambar yang saya kongsikan.

"'Rip current' boleh dicam apabila ada ruang diapit ombak kiri dan kanan.

"Apabila melihat keadaan ini, jangan sesekali tuan-tuan mandi di kawasan berkenaan.

"Jika tidak, anda akan ditarik arus deras yang akan mengakibatkan anda menjadi panik secara tiba-tiba," katanya.

Beliau berkata, fenomena tersebut akan mengakibatkan individu itu ditarik jauh ke tengah lautan, paling pendek sejauh kira-kira sembilan meter.

Ujarnya, jika berdepan situasi itu, individu yang terlibat hanya ada pilihan mengikut arus kerana jika dilawan pastinya akan mengalami keletihan menyebabkan tiada daya untuk menyelamatkan diri.

"Jadi anda mengikut arus seterusnya, berusaha berenang ke tepi arus, selepas itu barulah anda akan terkeluar daripada jalur 'rip current'," katanya lagi.

Pengguna berkenaan meminta orang ramai mengambil perhatian terhadap perkara berkenaan khususnya buat pelancong sambil memberitahu rakyat Terengganu tidak mandi di pantai terbuka termasuk di Pantai Batu Buruk.

"...Kami rakyat Terengganu memang tidak mandi di pantai terbuka terutamanya di Pantai Batu Buruk. Memang tuan-tuan tidak akan jumpa orang Terengganu mandi beramai-ramai di sana," tambahnya.

Dalam masa sama katanya, orang ramai boleh ke lokasi tumpuan lain untuk mandi-manda seperti di Pantai Kekabu di Marang kerana pihak pejabat daerah meletakkan petugas keselamatan lengkap dengan segala kemudahan jika terdapat kes orang lemas.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, kegembiraan empat sekeluarga berkelah di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas kira-kira jam 11.20 pagi Ahad.

Isteri mangsa, Nora Elina Abdul Khalit, 44, berkata, suaminya Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, dihanyutkan ombak ketika bersiar-siar di tepi pantai.

Menurutnya, beliau bersama suami serta dua anak perempuannya berusia sembilan dan 11 tahun tiba di Kuala Terengganu pada Jumaat lalu untuk bercuti. - Sinar Harian