NATIONAL
PAC adakan empat prosiding tindakan susulan bermula esok - Mas Ermieyati

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan empat prosiding tindakan susulan termasuk berkaitan pengurusan pelaksanaan Projek Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) bermula esok.
Ringkasan AI
- PAC akan adakan empat prosiding susulan berkaitan projek MLFF, bekalan air luar bandar di Sabah dan Sarawak, serta pengurusan akaun LHDN dan pembangunan tanah di Kuala Lumpur.
- Prosiding bertujuan menilai pelaksanaan dan keberkesanan projek, termasuk kos sistem MLFF dan cadangan pelan induk bagi projek air.
- Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati turut sertai bengkel PAC Asia Pasifik di Fiji bagi perkukuh akauntabiliti dan tadbir urus kewangan kerajaan.
Pada 18 Feb lepas, PAC mengesyorkan KKR dan LLM agar melaksanakan analisis kos faedah lebih terperinci berhubung pelaksanaan MLFF kerana berpendapat ia tidak akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol secara total.
Syor itu dibuat hasil prosiding yang dimulakan sejak 26 Feb hingga 19 Nov 2024 melibatkan pelbagai saksi selepas kerajaan mengumumkan bahawa sebanyak RM3.46 bilion akan dibelanja bagi pelaksanaan sistem MLFF.
Bagi Pengurusan Projek BALB Sarawak dan Sabah pula, PAC sebelum ini pernah mengesyorkan satu pelan induk dibangunkan bagi memastikan projek yang dirancang siap mengikut jadual sekali gus dapat menjamin penduduk mendapat bekalan air yang berkualiti serta selamat.
Mas Ermieyati turut memaklumkan bahawa PAC hari ini telah mengadakan prosiding berhubung Pembangunan Tanah Kuala Lumpur dengan memanggil beberapa saksi iaitu wartawan bebas Nadaswaran Murugasu Raja dan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Segambut, Yap Yee Vonne.
Beliau berkata turut diadakan hari ini ialah prosiding tindakan susulan berkaitan perolehan sistem Foreign Workers Centralized Management System di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi mendapatkan penjelasan dan maklum balas terhadap syor jawatankuasa itu dalam Penyata PAC yang dibentang di Parlimen pada 6 Mac lepas.
Mas Ermieyati turut memaklumkan bahawa beliau bersama Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu dan wakil Sekretariat PAC Ahmad Johan Mohd Afandi mewakili jawatankuasa itu ke Bengkel PAC bagi Rantau Asia Pasifik di Nadi, Fiji yang bermula hari ini dan berakhir pada Rabu.
"Bengkel ini merupakan satu platform untuk memperkukuh peranan dan keberkesanan PAC di rantau Asia Pasifik dalam memastikan akauntabiliti kewangan kerajaan dan berkongsi amalan terbaik serantau serta meneroka strategi tindakan susulan terhadap laporan PAC.
"Bengkel ini juga bertujuan memanfaatkan alat Parlimen secara efektif, membina rangkaian kerjasama serantau dan menyokong peningkatan tadbir urus serta integriti dalam sektor awam," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami