KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memandang serius isu kelewatan kemajuan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pendedahan mengenai kelewatan pembinaan kapal yang masih memerlukan pemantauan kemajuan yang teliti serta berkala itu adalah suatu yang mengejutkan dan membimbangkan.

Beliau berkata kemajuan projek pembinaan kapal LCS itu dibentangkan kepada PAC hari ini dalam prosiding yang dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Projek LCS Laksamana Franklin Jeyasekhar Joseph dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Kapten (B) Azhar Jumaat.

"PAC mahu kontraktor pembinaan kapal serta Pasukan Projek LCS mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah berkenaan.

"Jawatankuasa ini, bagaimanapun menyambut baik kenyataan Isham bahawa Kementerian Pertahanan akan mengambil tindakan segera dalam memastikan isu kelewatan berkenaan dapat diatasi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata tempoh kelewatan pembinaan kapal LCS itu tidak dapat didedahkan sekarang berikutan pematuhan di bawah Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau berkata laporan mengenai prosiding hari ini akan dibentangkan dalam Laporan Tindakan Susulan Kementerian Pertahanan terhadap syor PAC berkaitan kapal LCS dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang bermula 26 Februari nanti.

-- BERNAMA