Tindakan sekumpulan lelaki yang mengadakan parti menyambut hari jadi di Pulau Pinang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah apabila mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata 13 lelaki berusia 19 hingga 26 tahun di tahan di sebuah servis apartment di Jalan Pangkor, George Town pada jam 2 pagi Rabu.

Mereka yang juga pekerja swasta itu ditahan selepas polis menerima maklumat terdapat parti liar diadakan di rumah tersebut.

Soffian berkata, siasatan mendapati seorang daripada mereka telah menyewa apartmen itu pada harga RM150 semalam untuk tujuan menyambut hari jadinya dan menjemput 12 lagi rakannya.

Semasa serbuan itu mereka sedang berhibur dengan muzik yang kuat dan terdapat botol-botol arak di apartmen tersebut.

Katanya semua mereka ditahan dan direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pegawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.