KOTA KINABALU: Padah meminta rasuah berbentuk seks daripada seorang wanita, seorang pejawat awam di sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, semalam.

Lelaki berusia 51 yang bertugas sebagai ketua jabatan di daerah Keningau itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang di sebuah hotel di daerah berkenaan.

Menurut sumber, perkhidmatan seks berkenaan ialah sebagai suapan bagi suspek memberikan sokongan kepada wanita terbabit mendapatkan pinjaman pertanian.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, suspek ditahan 24 jam untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau menjelaskan tafsiran suapan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM 2009 meliputi pelbagai perkara termasuk pinjaman, jawatan serta perkhidmatan termasuk perkhidmatan seks.