Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah melibatkan Labosport dalam mempersiapkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil bagi konsert Ed Sheeran yang akan diadakan pada Sabtu dan perlawanan Kelayakan Piala Dunia Malaysia menentang Oman pada 26 Mac akan datang.

Dalam satu kenyataan media, PSM berkata, sebagai langkah awal, pihaknya telah memindahkan rumput seluas 1,900 meter persegi bagi menempatkan pentas dan menara sistem audio mengikut tema “world tour” Ed Sheeran. Rumput yang telah dipindahkan kini diberi jagaan intensif termasuk pengairan dan pembajaan supaya kesihatan rumput berada pada tahap optimum.

Selain itu, PSM bersedia untuk menggunakan rumput dari tapak semaian, sekiranya perlu.

Tapak semaian sedia ada mempunyai keluasan rumput melebihi 2,000 meter persegi untuk menampung keperluan padang SNBJ.

Kerja-kerja membongkar peralatan daripada konsert akan dimulakan sejurus selepas konsert berakhir dan kerja di padang akan bermula dengan segera selepas itu. - Stadium Astro