KUALA LUMPUR: Pakai niqab atau pelindung muka tanpa pelitup hidung dan mulut adalah salah di bawah Akta 342, tegas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu jelasnya, ia tidak boleh menjadi alasan untuk tidak memakai pelitup muka.

"Tetapi untuk tambahan, boleh memakai face shield, itu sebagai tambahan, begitu juga niqab dan sebagainya.

"Jadi kalau memakai face shield dan niqab dan tidak pelitup muka di dalamnya, ianya tetap salah di bawah Akta 342," ujarnya semasa sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Mohd. Said Ibrahim berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor selepas gambarnya yang mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada Khamis.

Tegasnya, kertas siasatan dibuka susulan Neelofa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka sepertimana diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Mohd. Said, penjelasan berkenaan SOP tersebut juga telah dikeluarkan oleh KKM setelah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos 2020.