MALAYSIA
Palanivel: Parti komponen BN tidak perlu bergabung
Parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak perlu bergabung menjadi parti tunggal kerana konsep sedia ada sekarang yang diwujudkan dalam satu bentuk barisan sudah sesuai, kata Presiden MIC Datuk Datuk Seri G. Palanivel.
Katanya terdapat perbincangan tidak rasmi beberapa parti komponen BN berhubung cadangan pergabungan namun "ada yang setuju dan ada yang tidak".
"MIC parti kuat, bukan parti lemah. Saya ingat ada perbincangan tetapi bila saya bincang dengan kepimpinan BN, saya lihat, Umno akan tetap kekal sebagai parti Umno, tidak perlu gabung," katanya kepada pemberita selepas Seminar Pemetaan Utiliti anjuran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di sini hari ini.
Sebaliknya negara akan menjadi lebih kuat jika Umno bergabung dengan parti-parti "lawan" seperti PAS dan PKR, katanya.
Sementara itu, Palanivel yang juga Menteri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berjanji untuk membawa isu yang menyentuh pelajar bukan Islam di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di Sungai Buloh, Selangor ke mesyuarat Kabinet minggu depan sebagai langkah untuk mencari jalan penyelesaian.
Tanpa mengulas lanjut, beliau bagaimanapun melahirkan rasa bimbang dengan apa yang diluahkan ibu bapa pelajar bukan Islam di sekolah itu.
Sebelum ini, akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan. Gambar pelajar makan di bilik persalinan yang dimuat naik ke internet sebelum itu mengundang kritikan pelayar alam maya.
Berdasarkan laporan portal berita, sekurang-kurangnya tiga pelajar bukan Islam dikatakan telah berhenti belajar di sekolah itu dan beberapa ibu bapa bukan Islam juga dikatakan akan mengambil tindakan serupa sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan sekolah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami