Penolakan rayuan Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan semula pemilihan cawangan dilihat berita kurang baik untuk seluruh ahli parti.

Naib Presiden MIC, Datuk M Saravanan berkata, perjumpaan dengan ROS pada Selasa mengesahkan isu itu di mana rayuan Palanivel meminta lebih masa untuk pemilihan parti telah ditolak.

"ROS sudah kata keputusan untuk mengadakan semula pemilihan cawangan dalam tempoh 30 hari, bahagian (60 hari) dan pusat (90 hari) (dari tarikh 31 Januari) adalah muktamad.

"Ia tidak diikuti dan ROS jelas mengatakan mereka tidak akan melayani sebarang rayuan.

"Sehingga hari ini, isu memilih di peringkat cawangan tidak diselesaikan dan sekarang kurang 10 hari untuk pemilihan semula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Saravanan mengulas sikap Palanivel yang tidak 'bersemangat' untuk menyelesaikan masalah parti yang melibatkan lebih 600,000 ahli.

Sebelum ini, Saravanan menggesa Palanivel menyelesaikan kemelut parti dengan mengikut arahan yang diputuskan ROS untuk mengelak parti itu terbubar dengan sendirinya.

Dalam pada itu kata Saravanan, dia turut menyerahkan sepucuk surat kepada ROS untuk meminta kebenaran pelantikan semula wakil MIC bagi tempoh 2009 sehingga 2012 untuk mengambil alih kuasa parti.

"Wakil ini akan mengadakan pemilihan semula, namun ia terpulang kepada bidang kuasa ROS untuk memberi peluang kedua atau tidak," katanya.

Saravanan turut melahirkan harapan agar ROS meluluskan permintaan berkenaan, sekali gus usaha menyelamatkan cawangan yang tersenarai untuk pemilihan semula.

Pada 5 Disember tahun lepas, ROS mengarahkan MIC untuk mengadakan pemilihan baru bagi 23 CWC dan tiga jawatan Naib Presiden dalam tempoh 90 hari berikutan dakwaan penyelewengan dan pelanggaran perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

Palanivel sebelum ini dilaporkan berkata, dia dan timbalannya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada ROS atas arahan untuk mengadakan pemilihan baru.

Palanivel juga dilaporkan memaklumkan mereka akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membincangkan isu itu.

MIC sepatutnya mengadakan perhimpunan agung tahunannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula dengan sayap Wanita, Putera dan Puteri pada 7 Disember diikuti perhimpunan agung parti 13 dan 14 Disember.

Pemilihan MIC tahun lepas menyaksikan perebutan antara lapan pemimpin kanan bagi jawatan tiga naib presiden sementara 88 calon, antara mereka dua wanita, bertanding bagi 23 jawatan dalam CWC.

Pemilihan bagi jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk S Sothinathan, Datuk M Saravanan dan Datuk S Balakrishnan.

MIC adalah sebuah parti minoriti India yang ditubuhkan pada Ogos 1946 oleh John A. Thivy dan Janaky Athi Nahappan.

Palanivel merupakan Presiden MIC kelapan selepas Datuk Seri S.Samy Vellu melepaskan jawatan itu pada tahun 2010.