KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Malek Razak Sulaiman pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) 2026.
Malek Razak mendahului senarai 150 penerima pingat pada sesi pertama yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara di sini, hari ini.
Istiadat itu dilaksanakan bersempena dengan sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-93 sebagai pengiktirafan terhadap jasa, khidmat dan pengorbanan pegawai serta anggota lain-lain pangkat ATM dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan darjah PGAT kepada Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berangkat pada istiadat itu.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali serta panglima-panglima perkhidmatan dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim yang juga Pemerintah Tertinggi ATM berkenan mengurniakan darjah PGAT Kehormat kepada empat panglima tentera negara luar.
Mereka terdiri Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand Jeneral Ukris Boontanondhat; Panglima Tentera Laut Singapura Laksamana Muda Sean Wat; Panglima Tentera Udara Diraja Brunei Brigedier Jeneral (U) Haszahaidi Ahmad Daud dan Panglima Tentera Udara Filipina Leftenan Jeneral Arthur Mirasol Cordura.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 22 penerima; Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 30 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 49 penerima manakala 43 individu menerima darjah Bentara Angkatan Tentera (BAT).
Penganugerahan Pingat DKAT berlangsung dalam dua sesi pengurniaan, dengan sesi kedua dijadual diadakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 22 Okt dan dijangka disempurnakan oleh Mohamed Khaled melibatkan 490 penerima, menjadikan jumlah keseluruhan penerima sebanyak 640 orang.
-- BERNAMA