SHAH ALAM: Akibat panik apabila tersalah jalan, seorang warga emas bertindak memandu kereta memasuki laluan motosikal di Kilometer (km) 31.1 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, wanita berusia 69 tahun berkenaan dipercayai datang dari Banting dalam perjalanan ke rumah anak saudaranya di Pandamaran, Klang.

"Pemandu tersebut telah panik dan hendak membuat pusingan u tetapi telah tersalah masuk ke laluan motosikal.

"Apabila menyedari telah berada di laluan motosikal, pemandu berhenti dan mengundurkan kenderaan dengan perlahan dan keluar balik ke laluan betul di Lebuhraya Kesas serta berhenti di tepi jalan.

"Kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan dengan kenderaan lain dan tidak melibatkan kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, wanita tersebut kemudian menghubungi anak saudaranya untuk mengambilnya di tepi jalan.

"Pihak polis berjaya mengesan wanita tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain," ujarnya.

Kejadian tersebut turut tular di media sosial selepas satu klip video berdurasi 49 saat rakaman kamera papan pemuka dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook.

*Berita asal di Sinar Harian