Tugas memantau dan memeriksa ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor perlu diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri.

Timbalan Ketua Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican berkata, ia termasuk pemeriksaan berkala terutamanya ke atas sistem ternakan termasuk kumbahan dan perparitan yang dijalankan oleh pengusaha ladang.

"Ia penting bagi memastikan mereka mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Kerajaan negeri juga perlu membuat penelitian sistem perparitan dan penternakan yang digunapakai oleh pengusaha ladang babi sekarang ini kerana perlu ada satu pembaharuan dalam memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih," katanya.

Dalam pada itu, Reezal turut meminta kerajaan negeri untuk melihat kewajaran bagi memindahkan ladang babi ke kawasan yang jauh daripada penempatan penduduk.

"Pindahkan sahaja ladang bukan sahaja di Kampung Selamat tetapi kawasan lain sebagai langkah mencegah penularan penyakit berjangkit seperti jangkitan virus Ensefalitis Jepun (JE)," jelasnya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas mendakwa kawasan ladang babi yang berhampiran penempatan penduduk menimbulkan pelbagai pencemaran seperti bau dan air serta longkang tersumbat akibat sisa kumbahan haiwan berkenaan tidak diselenggara dengan betul.

"Kawasan Kampung Selamat berada di bawah parlimen saya dan isu pencemaran terutama bau busuk akibat ternakan berkenaan bukan baharu tetapi telah lama menjadi rungutan penduduk di situ.

Malah rungutan itu bukan dari orang Melayu sahaja tetapi kaum lain juga, itu adalah isu sejagat dan bukan isu satu kaum. Jadi saya harap kerajaan negeri dapat bertindak," katanya.

Rabu lepas, Norain Nasuha Shukri berumur dua tahun lima bulan disahkan dijangkiti virus JE selepas pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lalu adalah positif.

Kes itu merupakan yang kedua selepas seorang murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini, Muhammad Ammar Muqnish Zulkiffli, 12, turut disahkan dijangkiti virus yang sama dan kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas, dekat sini.

Jumaat lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Vaterinar, Datuk Dr Azmie Zakaria berkata semua 181 sampel darah dari 20 ladang babi di Kampung Selamat negatif daripada virus penyebab JE.