Skip to main content

Malaysia

Papagomo bebas, AGC sekali lagi mahu fail rayuan

Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk memfailkan rayuan selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sekali lagi membebaskan Papagomo, kali ini pada akhir kes pembelaan, hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk memfailkan rayuan selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sekali lagi membebaskan Papagomo, kali ini pada akhir kes pembelaan, hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dua kali dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, namun Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo sekali lagi berdepan rayuan pihak pendakwaan berhubung pertuduhan hasutan yang dihadapinya.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk memfailkan rayuan selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sekali lagi membebaskan Papagomo, kali ini pada akhir kes pembelaan, hari ini.

"Setelah meneliti keputusan Hakim Mahkamah Sesyen tersebut, Jabatan ini memutuskan untuk memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut dalam masa terdekat," menurut kenyataan AGC hari ini.

Menurut jabatan itu, Papagomo mengakui mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan seperti dipertuduhkan ketika memberikan keterangan secara bersumpah dalam prosiding pembelaan.

Bagaimanapun, AGC memaklumkan tertuduh yang menjadi satu-satunya saksi pembelaan hanya mengemukakan pembelaan berbentuk penafian semata-mata.

Terdahulu, Hakim Siti Aminah Ghazali memutuskan pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah, manakala pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Papagomo, 43, didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan yang antara lain mengaitkan kerajaan sebagai pro-Israel dan pro-Barat menerusi Facebook pada November 2023.

Kenyataan itu didakwa dibuat menerusi laman Facebook Halid Hamidi atau Halid Mat Kool dan dilihat seorang individu di sebuah kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang.

Pada 8 Januari 2024, Papagomo mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 3 September 2025, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Papagomo selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada keesokan harinya bagi mencabar keputusan berkenaan.

Pada 31 Julai lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan itu dan memerintahkan Papagomo membela diri selepas mendapati wujud kes prima facie terhadapnya.

Namun, selepas mendengar pembelaan tertuduh, Mahkamah Sesyen sekali lagi memutuskan untuk melepas dan membebaskannya, sekali gus mendorong AGC memutuskan untuk mencabar keputusan itu buat kali kedua.

Must Watch Video

Advertisement