KUALA LUMPUR: Para intelektual termasuk pensyarah universiti digesa memainkan peranan serius untuk menerangkan latar belakang dan dinamik geopolitik dunia yang membawa kepada pewujudan negara haram Israel seterusnya mencetuskan konflik berpanjangan Palestin-Israel.

Presiden Parti Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kefahaman umat Islam terhadap dinamik geopolitik berkenaan amat penting supaya mereka tidak mudah terperangkap dengan permainan kuasa negara-negara Barat termasuk berkaitan konflik Palestin-Israel.

"Dengan ketidakfahaman ini, umat Islam terperangkap dengan permainan Barat, khasnya di negara-negara Arab," katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata umat Islam harus sedar bahawa negara Israel diwujudkan oleh kuasa Barat selepas kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam ketika dahulu termasuk kerajaan Uthmaniyah.

"Jangan lupa bahawa Israel diwujudkan dengan menghalau penduduk-penduduk asal Palestin. Negara Israel tidak wujud sebelum tahun 1948. Bumi yang mereka (kuasa Barat) jajah itu (sebelum diserah kepada Israel) tetap dengan nama Palestin," katanya.

Namun, beliau berpandangan negara Barat tidak lagi dapat 'menutup mata' mengenai pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan rejim Zionis di Palestin.

-- BERNAMA