Skip to main content

Malaysia

Parlimen: Bayaran pampasan kerajaan lebih RM643 juta dalam tiga tahun - Azalina

KUALA LUMPUR, 24 Feb -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Azalina (foto) berkata bayaran itu hanya melibatkan kes sivil dan tidak merangkumi prosiding jenayah. -Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan membayar lebih RM643 juta sebagai kos ganti rugi atau pampasan membabitkan kes sivil sepanjang tempoh tiga tahun sejak 2023.

Secara keseluruhan, sebanyak 501 kes sivil direkodkan dalam tempoh itu dengan purata bayaran tahunan melebihi RM214 juta. 

Advertisement

Tahun 2025 merekodkan jumlah bayaran tertinggi iaitu RM373.2 juta membabitkan 186 kes. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata bayaran itu hanya melibatkan kes sivil dan tidak merangkumi prosiding jenayah. 

Beliau memaklumkan, berdasarkan data dikemukakan Kementerian Kewangan Malaysia, sebanyak 173 kes direkodkan pada 2023 dengan jumlah bayaran RM65.2 juta. 

"Jumlah itu meningkat mendadak pada 2024 apabila 142 kes membabitkan bayaran keseluruhan RM204.9 juta, iaitu lonjakan lebih tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya dari segi nilai pampasan," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terangganu), mengenai jumlah kes yang kerajaan kalah di mahkamah sivil dan jenayah sejak 2023 hingga 2025 mengikut jenis kes. 

Mengulas lanjut Azalina menjelaskan, sebagai wakil kerajaan, Jabatan Peguam Negara Malaysia atau kementerian berkaitan yang mengendalikan kes sivil akan memohon kepada Kementerian Kewangan Malaysia untuk membuat bayaran ganti rugi atau pampasan mengikut jumlah yang diperintahkan mahkamah. 

Sementara itu, bagi kes jenayah, Pendakwa Raya bertindak mewakili Kerajaan Malaysia dalam prosiding mahkamah dan kes berkenaan tidak membabitkan pembayaran ganti rugi atau pampasan oleh kerajaan seperti dalam kes sivil.

Must Watch Video