Skip to main content

Malaysia

Parlimen: KPM bina 2,596 bilik darjah baharu, lantik 3,150 guru hadapi dua kohort tahun satu 2027

KUALA LUMPUR, 24 Jun -- Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang membina 2,596 bilik darjah baharu bagi menampung pertambahan murid Tahun Satu susulan pelaksanaan dasar yang mewujudkan kemasukan dua kohort pada tahun 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata projek berkenaan merupakan antara langkah persediaan KPM bagi memastikan kesiapsiagaan sistem pendidikan menjelang pelaksanaan dasar tersebut.

"Sebanyak 2,596 bilik darjah baharu sedang dibina melibatkan 838 buah sekolah bagi menampung pertambahan enrolmen murid Tahun Satu 2027 dan projek-projek ini akan disiapkan pada tahun ini juga," katanya dalam jawapan di Dewan Rakyat.

Jelas Kah Woh, KPM turut mengambil kira keperluan dan implikasi pelbagai aspek termasuk prasarana, sumber manusia, latihan serta perancangan kewangan dalam memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar.

Sehingga kini, sebanyak 478,469 permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi sesi 2027 diterima melibatkan dua kohort, iaitu 405,003 kanak-kanak berusia tujuh tahun dan 73,386 kanak-kanak berusia enam tahun.

"Ini menjadikan jumlah permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi tahun 2027 adalah seramai 478,469 orang merangkumi kanak-kanak daripada dua kohort, kohort tujuh tahun dan juga enam tahun.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 12.07 peratus berbanding enrolmen Tahun Satu 2026 yang hanya melibatkan kohort tujuh tahun," katanya.

Bagi memastikan kesiapsiagaan infrastruktur pendidikan, KPM turut melaksanakan beberapa pendekatan termasuk pembinaan bilik darjah tambahan, pengoptimuman premis sedia ada, penukaran fungsi ruang kepada bilik darjah, pelaksanaan operasi dua sesi serta penempatan murid ke sekolah berhampiran mengikut kesesuaian kapasiti masing-masing.

Selain itu, kerja penambahbaikan dan naik taraf kemudahan sedia ada di sekolah turut dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti infrastruktur dan menyediakan ruang pembelajaran yang mencukupi.
 

 

Must Watch Video

Advertisement