Seorang anggota polis berusia 24 tahun yang juga penganjur parti liar direman empat hari bersama 20 lagi individu termasuk enam wanita selepas didapati positif dadah jenis metamfetamin dan ketamin.

Perintah terbabit dikeluarkan Majistret Arif Mohamaf Shariff di Mahkamah Majistret Sungai Petani ke atas kesemua mereka bermula hari ini sehingga 31 Ogos depan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, anggota Unit Rondaan Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda itu ditahan bersama 21 lelaki dan 10 wanita lain berusia 17 hingga 31 tahun ketika sedang mengadakan parti liar di sebuah rumah sekitar Bandar Mutiara, Sungai Petani.

Berdasarkan maklumat, anggota berkenaan dipercayai menyewa rumah berkenaan dengan harga RM190 bagi satu malam.

BACA: Anggota polis antara 32 yang ditahan dalam serbuan parti liar

Serbuan pihak polis dilaksanakan selepas menerima aduan daripada penduduk sekitar susulan bunyi bising dari rumah berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 22 lelaki dan 10 wanita didalam rumah berkenaan dan kesemua mereka didapati telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kesemua mereka kemudian mengaku bersalah dan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana menganjurkan parti tanpa kebenaran selain tidak mematuhi penjarakan fizikal.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, hasil ujian air kencing mendapati 15 lelaki termasuk seorang anggotanya serta 6 wanita positif dadah jenis metamfetamin dan juga ketamin.

Kesemua 21 individu berkenaan kemudian ditahan pihak polis direman selama empat hari bagi membantu siasatan.