KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya 'lebih risau' selepas kemenangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu lalu, kata Fahmi Fadzil.

Menurut jurucakap Kerajaan Perpaduan itu, ini kerana Pas didakwa sedang mengintai jawatan Ketua Pembangkang yang digalas oleh wakil Bersatu ketika ini, selain parti Islam itu dilapor bersedia memikul  tanggungjawab yang lebih besar.

Malah, Fahmi turut menafikan dakwaan bahawa kemenangan calon Pas dalam PRK Kemaman sebagai bukti referendum rakyat.

"Saya rasa Pas sedang memperjuangkan peranan sebagai (ketua) pemimpin pembangkang.

"Saya rasa sekarang ini, sejumlah Ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri... dalam keadaan PRK Kemaman nampak seperti kemenangan untuk Pas dan bukan Perikatan Nasional (PN).

"... kerana logo yang digunakan bukan PN tetapi logo Pas. Malah semua Ahli Parlimen Bersatu, yang menang di Kelantan dan Terenganu mengangkat bendera Pas.

"Jadi saya rasa sekarang ini, kalau saya di pihak kerajaan kami tak risau. Saya rasa yang risau sekarang ialah Bersatu kerana jelas mungkin selepas ini Pas akan desak atau minta jawatan Ketua Pembangkang," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas hadir Forum Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam: Menjadikannya Lebih Cekap Dan Berkesan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kemenangan Ahmad Samsuri membuktikan referendum rakyat terus berpihak gabungan PN.

Menjawab lanjut, Fahmi berkata jika ia referendum daripada rakyat, maka perkara sama juga berlaku ketika Barisan Nasional (BN), yang merupakan salah satu parti komponen kerajaan menang dalam PRK Pelangai.

Beliau menambah, kekalahan BN juga bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Kemaman merupakan kubu kuat Pas.

"Bagaimana pula dengan Pelangai? Kerajaan Perpaduan menang di Pelangai. (Jadi) itu referendum tentang siapa?,” soalnya lagi.

Sabtu lalu, Ahmad Samsuri menewaskan pencabarnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerusi pertembungan satu lawan satu.

Naib Presiden Pas itu memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia mewakili BN mendapat 27,778 undi.