KUALA LUMPUR: Kemenangan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, yang merupakan kubu mereka sendiri bukan sesuatu yang luar biasa, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Justeru, beliau turut menolak kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan kononnya kemenangan Ahmad Samsuri, membuktikan referendum rakyat berpihak kepada kepimpinannya dan gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Menang di kubu sendiri bukanlah sesuatu yang luar biasa. (DUN) Pelangai kelmarin tak dikira referendum pula. Lain la kalau menang di (Parlimen) Subang," katanya menerusi laman X beliau, malam tadi.

Muhammad Kamil yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berharap, Ahmad Samsuri akan menjadi pemangkin untuk ahli Parlimen pembangkang agar menjadi lebih efektif, berikutan penyokongnya meletakkan harapan tinggi terhadap beliau.

Pas pada Sabtu mengekalkan status quo di Kemaman selepas calonnya Ahmad Samsuri memenangi PRK Parlimen itu dengan majoriti 37,220, setelah memperoleh 64,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

-- BERNAMA