Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menafikan sekeras-kerasnya laporan muka hadapan akhbar Mesir, Al-Wathan yang mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah dilantik sebagai setiausaha agung organisasi gerakan Islam antarabangsa berpengaruh di Mesir, Ikhwanul Muslimin Antarabangsa.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang medianya di Lobi Parlimen berkata laporan tersebut bersifat fitnah dan mempunyai perancangan untuk mengheret PAS ke kancah yang tidak sihat dalam politik Mesir.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya laporan berita tersebut dan ianya adalah bohong dan sangat mendukacitakan. Adalah tidak munasabah bagi saya yang tinggal di Timur jauh ini untuk melibatkan diri secara langsung dengan apa yang berlaku di Mesir,” kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi menambah walaupun PAS mendukung demokrasi di seluruh dunia termasuk pemulihan demokrasi di Mesir dan hak rakyat Mesir diberikan dengan seadil-adilnya, ini tidak bermaksud PAS perlu campur tangan dalam hal ehwal politik dalaman Mesir.

“Kami merasakan Presiden Morsi perlu dikembalikan menjadi Presiden dan biarlah hak rakyat Mesir yang menentukan sama ada mahu menolak Morsi atau tidak bukannya melalui rampasan kuasa tentera,” katanya lagi.

Oleh hal demikian, menurut Hadi, laporan berita yang disiarkan oleh akhbar tersebut adalah cubaan untuk mengheret beliau dan PAS lebih jauh dalam penglibatan secara langsung dengan politik Mesir.

“Laporan tersebut adalah satu provokasi untuk menyulitkan lagi hubungan PAS dengan antarabangsa. Kita telah pun menghubungi rakan-rakan PAS yang berada di UK dan Asia Barat untuk menafikan laporan berita itu ,” kata Abdul Hadi lagi.

Gerakan Ikhwanul Muslimin Antarabangsa ini lebih tertumpu kepada gerakan Islam di Asia Barat dan rakyat Asia Barat yang berada di Eropah, oleh itu, menurut Abdul Hadi, ianya sangat tidak munasabah untuk melantik beliau sebagai setiausaha agung.

Muka hadapan akhbar tersebut yang disiarkan pada Ahad lalu memaparkan laporan yang diterjemahkan sebagai “Tanzim (Organisasi) Antarabangsa Ikhwan Mesir Menarik Diri dari Kepimpinan Ikhwan: Memilih Orang Malaysia sebagai Setiausaha Agung”.

Abdul Hadi menambah sehubungan dengan penyiaran laporan berita berkenaan, beliau dan kepimpinan PAS sedang meneliti langkah-langkah sesuai untuk diambil terhadap akhbar Al-Wathan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang.

Akhbar Al-Wathan merupakan akhbar dibawah kawalan tentera pimpinan Abdul Fatah As-Sisi yang menjatuhkan kepimpinan mantan Presiden dalam satu rampasan kuasa pada 3 Julai yang lalu.