PAS memandang serius cubaan sesetengah pihak yang cuba melakukan provokasi berikutan isua kalimah Allah.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta semua ahlinya agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan hasutan pihak-pihak tertentu.

"PAS memandang dengan serius suara-suara provokasi yang ditimbulkan oleh pihak tertentu dalam isu penggunaan kalimah Allah, terutamanya terhadap cadangan beberapa pihak untuk berdemonstrasi di hadapan gereja tertentu di Selangor pada hari Ahad," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, tindakan berkenaan bukan satu keperluan memandangkan isu berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Muslim seharusnya diselesaikan melalui perbincangan.

"Isu penggunaan kalimah Allah ini perlu disantuni dengan ilmu Islam, berdasarkan disiplin ilmu yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

"Bukannya menerusi kekerasan apatah lagi menggunakan undang-undang yang dipaksakan semata-mata," kata Ahli Parlimen Marang itu.

Abdul Hadi turut mengingatkan umat Islam supaya mengutamakan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat terutamanya dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama.

"Pendekatan berhujah dengan ilmu perlu lebih diutamakan dalam memberikan kefahaman kepada anggota masyarakat, terutamanya kepada masyarakat yang bukan beragama Islam," katanya lagi.

Abdul Hadi turut menegaskan, PAS juga merasa sangat dukacita sekiranya isu ini diperhangatkan sehingga rakyat lupa kepada masalah keperitan hidup angkara kenaikan harga barang pada tahun 2014 ini.