PAS Terengganu hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bahawa pihaknya memujuk wakil rakyat UMNO itu menyertai mereka, lapor The Malaysian Insider.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat berkata pihaknya sudah menjangkakan Ahmad akan membuat pusingan balik dengan menyertai UMNO kembali.

Malah Satiful berkata tindakan Ahmad itu mudah dijangka ekoran kredibiliti beliau yang diketahui sebagai individu yang 'flip-flop.'

"PAS tidak berjumpa Ahmad Said. Kenyataan itu bohong. Kita tidak pernah menawarkan apa-apa. Kalau ada membuat tawaran sepatutnya saya selaku pesuruhjaya," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka.

"Dalam isu ini, kita sedar Ahmad ini liabiliti... beliau kita ketahui seorang yang 'flip-flop."

"Saya sendiri tidak pernah bercakap dengan beliau," katanya seperti dipetik The Malaysian Insider ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Terengganu hari ini.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendakwa Ahmad telah 'berbohong' dengan kenyataan tersebut.

Dr Syed Azman mendakwa perkara sebaliknya berlaku di mana 'pihak Ahmad Said' yang menghubungi PAS dan menyatakan hasrat untuk menyertai dan menyokong parti itu.

“Ini (dakwaan Ahmad dipujuk sertai PAS) pembohongan semata-mata, PAS tidak pernah sekali-kali berbuat demikian.

"Di kalangan pemimpin PAS memang tiada (tidak pernah menghubungi atau bertemu Ahmad Said).

"Bahkan pimpinan tertinggi parti tidak akan terburu-buru mempelawa Ahmad Said menyertai PAS,” Dr Syed Azman dipetik sebagai berkata oleh Malaysiakini.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu pada Isnin bersama ADUN Bukit Besi, Roslee Daud bertindak keluar UMNO dan mengisytiharkan sebagai wakil rakyat Bebas selepas beberapa jam Menteri Besar baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah.

Ahmad dan Roslee bagaimanapun menarik balik keputusan tersebut dan kembali menyertai UMNO pada Rabu selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam sidang media di kediaman beliau di Kemaman pada Rabu, Ahmad mendakwa PAS memujuk beliau menyertai parti itu ketika menjadi ADUN Bebas.