ALOR SETAR: Pasangan kekasih antara tiga individu ditahan polis bersama rampasan dadah bernilai lebih RM73,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Huma, Ayer Hangat, Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata, dua lelaki dan seorang wanita berumur antara 27 dan 41 tahun itu, ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada pukul 5 petang.

"Hasil pemeriksaan di dalam bilik di rumah tersebut menemukan satu beg galas mengandungi 10 paket plastik lut sinar yang berisi serbuk dan ketulan berwarna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 4,082.41 gram (4.08 kilogram).

Turut dijumpai, satu beg plastik mengandungi 15 paket plastik lut sinar berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 775.96 gram. Jumlah keseluruhan rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM73,600," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, turut disita sebuah kereta jenis Honda City bernilai RM35,000.

Menurut Shariman hasil saringan urin mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamin dan mereka direman sehingga 13 Mac ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.

-- BERNAMA