BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja perempuan bersama teman lelakinya didakwa secara bersama di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan menculik seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dari jagaan pengasuhnya dalam kejadian 23 Ogos lepas. 



Tertuduh berusia 14 tahun dan teman lelakinya, Muhammad Azrin Budimaeng, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret NurulRasyidah Mohd Akit hari ini. 



Mengikut pertuduhan kedua- dua mereka dituduh mencapai niat bersama telah menahan dan melarikan secara salah bayi perempuan berusia sembilan bulan. 



Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Taman Pauh Perai kira-kira jam 5.30 petang 23 Ogos lepas.



Mereka didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

 Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan didenda. 



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kedua dua tertuduh diwakili peguam Fatin Nabila Hussin.

Mahkamah membenarkan kedua dua tertuduh diikat jamin masing masing RM5000 dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula 3 Oktober depan untuk serahan dokumen.

Minggu lepas, tular di media sosial kes seorang bayi dilarikan seorang wanita dalam kejadian di sebuah Pangsapuri di Bukit Tengah.

Bayi berkenaan dikatakan dilarikan cucu kepada pengasuh yang melarikan bayi tersebut ketika pengasuh terbabit sedang solat.

Susulan itu, polis menahan polis menahan lima individu termasuk seorang remaja perempuan yang juga suspek utama dalam insiden melarikan seorang bayi berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri, Selasa lalu.

Lima individu berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi di sebuah pondok di Machang Bubok, dan sebuah rumah di Kulim, Kedah.