Skip to main content

Malaysia

Pasaran vape haram menanti jika kawal selia terus kabur - MOVE

Adobe Stock
Lindungi golongan muda, lindungi pengguna dan berikan pengawal selia instrumen yang diperlukan untuk melaksanakan kawal selia dengan berkesan, ujar Samsul Kamal.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (MOVE) menggesa kerajaan segera menjelaskan kedudukan undang-undang dan kawal selia nikotin cecair.

Gesaan itu menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Mei lalu yang membatalkan pengecualian nikotin cecair daripada Senarai Racun pada 2023, sebelum kerajaan menarik balik keseluruhan rayuannya pada 18 Ogos lalu.

Presiden MOVE, Samsul Kamal Arrifin berkata, ketidakpastian berkenaan boleh mewujudkan kesan larangan secara tidak langsung terhadap produk vape, sedangkan permintaan pengguna masih wujud.

“Tanpa kerangka kawal selia yang jelas dan praktikal, peruncit sah boleh tersingkir dan digantikan oleh pengusaha haram yang beroperasi di luar keperluan keselamatan produk, percukaian serta pengesahan umur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penggubalan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) merupakan langkah penting dalam mengawal selia industri berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, akta itu tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya kedudukan nikotin cecair pada masa sama mewujudkan percanggahan undang-undang di bawah Akta Racun 1952.

Image
Presiden MOVE, Samsul Kamal Ariffin
Samsul turut menggesa kerajaan menyelesaikan persoalan mengenai hubungan antara Akta 852 dengan Akta Racun 1952.

Menurut Samsul, kegagalan memberikan kejelasan bukan sahaja berisiko menyingkirkan perniagaan yang mematuhi undang-undang, malah boleh mendorong pengguna beralih kepada pasaran tidak terkawal.

Keadaan itu, katanya, boleh meningkatkan risiko penjualan produk dengan kandungan tidak diketahui, selain menyukarkan penguatkuasaan piawaian keselamatan, kebolehkesanan dan kutipan cukai.

MOVE turut menggesa kerajaan mewajibkan peniaga vape berdaftar melaksanakan pemeriksaan identiti yang seragam serta prosedur operasi ketat bagi menghalang penjualan kepada individu bawah umur.

“Pendirian kami jelas: lindungi golongan muda, lindungi pengguna dan berikan pengawal selia instrumen yang diperlukan untuk melaksanakan kawal selia dengan berkesan,” katanya lagi.

 

Must Watch Video

Advertisement