Pasca PRN Sabah: Keputusan tidak mencerminkan referendum - Penganalisis

Mohd Azizuddin berpendapat PRN kali ini menyaksikan pengundi mengikut sentimen parti berteraskan Sabah. - Gambar fail.
KUALA LUMPUR: Walaupun sokongan terhadap parti dari pusat merosot, namun ia tidak mencerminkan sebuah referendum pengundi semasa Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada Sabtu lalu.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM),vProfesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, PRN kali ini menyaksikan pengundi mengikut sentimen parti berteraskan Sabah.
"Kurang sokongan kepada parti persekutuan ataupun nasional mungkin disebabkan sentimen yang dibawa semasa kempen pilihan raya.
"Tetapi apa yang jelas, ia bukanlah satu bentuk referendum kepada Persekutuan," katanya di dalam program Pantau Agenda Reformasi hari ini.
Azizuddin turut menyatakan, apa yang penting adalah harapan rakyat agar kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat memberi manfaat kepada warga Sabah.
“Diharapkan kerajaan ini mampu membawa kebaikan lebih baik kepada masyarakat khususnya dalam konteks ekonomi Sabah yang sering dijadikan isu yang besar ketika PRN baru ini,” katanya.
Azizuddin berkata, isu-isu tertentu seperti hak Sabah 40 peratus, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan slogan Sabah For Sabahan tetap mendorong sebilangan pengundi memilih parti yang menekankan kepentingan negeri berbanding fokus persekutuan.
Namun, tegasnya, isu tersebut tidak membawa kepada corak pengundian protes terhadap kerajaan negeri semasa PRN kali ini.
“Saya tak nampak ia sebagai satu sentimen anti-establishment sebab kita tahu kerajaan yang wujud sekarang ini ialah GRS, malah Warisan pun merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.
Tujuh belas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai timbalan menteri di bawah kerajaan negeri Sabah baharu, termasuk beberapa ADUN bebas dan seorang daripada STAR, walaupun parti itu kekal sebagai pembangkang.
Sebahagian besar timbalan menteri datang daripada GRS, manakala beberapa lagi adalah ADUN yang dilantik, mewakili pelbagai parti dan kelompok politik.
Kesemua pembantu menteri dan ADUN yang dilantik mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Gabenor Sabah, Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu hari ini.
Manakala Menteri dan timbalannya selesai mengangkat sumpah pada Isnin yang disaksikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


