Pasport 'kosong' bongkar taktik warga asing selindung status di Selangor

Dalam operasi yang bermula 10 malam tadi, sebanyak 200 warga asing terdiri daripada warga Myanmar, Nepal, Bangladesh, Filipina dan Papua New Guinea diperiksa. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor membongkar taktik licik warga asing yang menggunakan pasport baharu tanpa sebarang cop atau pengesahan sah bagi menyembunyikan status keberadaan mereka selepas tinggal lebih masa di negara ini.
Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata hasil pemeriksaan mendapati tiga pasport 'kosong' yang dikeluarkan kedutaan negara masing-masing di Kuala Lumpur dipercayai digunakan untuk menutup rekod kesalahan lampau pemiliknya.
"Pemeriksaan mendapati warga asing yang mempunyai pasport 'kosong' sebelum ini sama ada kehilangan pasport atau pasport lama tamat tempoh dan telah membuat pasport baharu di negara ini.
"Jika berada secara sah di negara ini, mereka sepatutnya memindahkan endorsement (perakuan) daripada pasport lama ke pasport baharu, namun ada warga asing yang sudah membuat pasport baharu pada 2023 tidak melakukan perkara terbabit," katanya.
Beliau yang ditemui selepas menyertai operasi penguatkuasaan JIM di Pelangi Damansara, Petaling Jaya di sini malam tadi berkata tindakan itu melanggar Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas kerja sah untuk bekerja di Malaysia walaupun mempunyai pasport.
Aminus turut menasihatkan warga asing yang tinggal lebih masa supaya menyerah diri melalui Program Repatriasi Migran 2.0 yang sedang dilaksanakan.
"Menerusi Program Repatriasi Migran 2.0 ni pendatang tanpa izin yang tinggal lebih masa, boleh tampil di mana-mana pejabat imigresen di Selangor, iaitu di Shah Alam, Kelana Jaya, Pelabuhan Klang atau Kajang, mereka boleh pulang tanpa ditahan," katanya.
Dalam operasi yang bermula 10 malam tadi, sebanyak 200 warga asing terdiri daripada warga Myanmar, Nepal, Bangladesh, Filipina dan Papua New Guinea yang bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti pembantu rumah dan pembantu di restoran telah diperiksa .
Pendatang tanpa izin yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen, antaranya tinggal melebihi tempoh sah, masuk tanpa pas serta melanggar syarat pas atau permit telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat JIM Selangor di Shah Alam untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


