KUALA NERUS: Setiap ketua isi rumah terutama penduduk di kawasan sering dilanda bencana banjir, perlu memastikan seorang daripada ahli keluarga mereka mahir melakukan prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebagai langkah awal untuk menyelamatkan nyawa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata kemahiran itu sangat penting kerana mampu menyelamatkan nyawa jika mangsa banjir berhadapan dengan kes lemas di kawasan kediaman mereka.

"Setiap keluarga perlu ada yang berkemahiran CPR, pergilah belajar daripada agensi-agensi penyelamat yang bertauliah untuk jalankan CPR sebab kita tak nak nanti dapat 'ajaran sesat' pula.

"Ini melibatkan nyawa... Keperluan CPR bukan untuk diri sendiri dan keluarga saja, kerana kebanyakan kes ada yang tak mampu selamatkan mangsa, tak dapat nak lakukan CPR walaupun sekejap saja," katanya ketika meninjau fenomena air laut pasang besar di Pantai Seberang Takir di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mangsa banjir sekali lagi agar berhati-hati mengendalikan peralatan elektrik apabila pulang ke rumah masing-masing nanti.

"Jangan terus hidupkan suis utama dahulu, pastikan semua soket kering tiada air baru hidupkan. Kalau tak tahu nak buat macam mana, tanya pihak berkuasa," kata Md Hilman.

Semalam, media melaporkan sebanyak 15 kes kebakaran yang berpunca daripada litar pintas direkodkan dalam tempoh lima hari banjir teruk yang melanda negeri ini mulai 19 Dis lepas.

Menurut Md Hilman, kebakaran itu disebabkan oleh kerosakan barangan elektrik dan pendawaian yang terjejas akibat ditenggelami air banjir.

Sementara itu katanya, air pasang besar malam tadi menyebabkan ketinggian ombak mencecah 2.7 meter (m) hingga 2.9 m di Kuala Terengganu, manakala di Kemaman ombak setinggi 3.7 m.

"Situasi banjir sekarang semakin reda...jika ada hujan lebat akan berlaku pertembungan air pasang besar dan limpahan sungai, ini akan menyebabkan banjir, diharap cuaca baik dan tiada hujan," katanya yang memberitahu ombak mencecah ketinggian 3.7 m ini dijangka berlarutan hingga 27 Disember ini.

Md Hilman turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti riadah berhampiran pantai pada musim Monsun Timur Laut ini bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

-- BERNAMA