KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan pasukan petugas bersama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menangani isu ketirisan hasil negara di pelabuhan masih belum dimuktamadkan.
JKDM memaklumkan, perbincangan antara kedua-dua agensi berhubung cadangan berkenaan masih berjalan dan maklumat lanjut mengenai bentuk kerjasama itu akan diumumkan selepas persetujuan dicapai.
“Perkara ini masih dalam perbincangan antara kedua-dua agensi. Maklumat rasmi akan dikongsikan dengan pihak media selepas ia dimuktamadkan,” menurut kenyataan JKDM pada Khamis.
Perkembangan itu susulan gesaan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Centre) supaya inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan tahap ketelusan lebih tinggi, selain disokong perlindungan kukuh serta mekanisme akauntabiliti yang jelas.
Ketua Penyelidikan dan Advokasi Dasar C4 Centre, Arief Hamizan berkata, walaupun cadangan penubuhan pasukan petugas itu dilihat sebagai langkah positif dalam menangani kelemahan aspek penguatkuasaan, peranan, bidang kuasa dan mekanisme pelaksanaannya perlu diperincikan dengan jelas.
Menurutnya, garis panduan yang komprehensif penting bagi memastikan pasukan berkenaan dapat berfungsi secara berkesan, mengelakkan pertindihan tanggungjawab serta memberikan impak bermakna dalam memperkukuh tadbir urus.
Pada 15 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata cadangan penubuhan pasukan petugas khas itu telah dibincangkan bersama Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Amran Ahmad.
Perbincangan itu turut menyentuh cabaran berkaitan urusan pemeriksaan kastam, selain isu kerenah birokrasi dan pelbagai perkara dalaman yang dihadapi JKDM.