KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan budaya membaca perlu ditekankan kepada buku yang mempunyai nilai ilmu dan mutu tinggi.
Jelasnya, masyarakat perlu menghindari bahan bacaan picisan yang tidak memberi manfaat kepada pembangunan minda dan sahsiah.
“Kita tidak boleh berlumba untuk jadi negara maju bertamadun, negara MADANI tetapi (jika) pembacaan itu hambar dan picisan, iaitu penulisan yang tidak menekankan soal mutu dan nilai.
“Apa yang dihamburkan di dalam buku dan karya itu harus memautkan, mengikat kita dengan soal nilai dan keyakinan agama,” katanya ketika ucapan perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, di sini, pada Jumaat.
Anwar turut mengingatkan ibu bapa dan guru supaya membimbing anak-anak memilih bahan bacaan yang berkualiti sejak kecil kerana tidak semua maklumat diterima hari ini boleh dianggap sebagai ilmu yang baik.
“Harus membaca, tetapi membaca ilmu yang memberi manfaat sama ada bidang agama, falsafah, pendidikan, sains, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Harus kita sedar bahawa wujud juga ilmu yang merosakkan jiwa. Misalnya kebanjiran maklumat di media sosial, keadaan itu tidak semestinya melahirkan masyarakat berilmu.
“Ramai orang sekarang telah hilang minat membaca kerana dia hanya melihat media sosial, menjawab permasalahan yang kompleks dalam 20 perkataan,” bidas Anwar.
PBAKL 2026 berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan tema ‘Malaysia Membaca: Merayakan Buku’ yang menekankan usaha memperkasa budaya membaca dan literasi dalam kalangan masyarakat.
Antara tarikan utama PBAKL 2026 ialah Galeri Khas Buku Pilihan Pemimpin MADANI yang mempamerkan buku pilihan sembilan pemimpin negara.
Sebanyak tiga pentas aktiviti disediakan sepanjang pesta buku itu bagi mengadakan sesi bersama penulis terkenal, forum, acara budaya dan persembahan berkaitan dunia perbukuan.