Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa situasi kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada yang digambarkan oleh kerajaan.

Dalam satu laporan yang didedahkan pada Jumaat, Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Sebaliknya, kata beliau, kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus.

"Realitinya, Malaysia dilihat mempunyai kadar kemiskinan hampir dengan negara lain iaitu 15 peratus. Masalah utamanya ialah kewujudan 0.4 peratus yang melibatkan 25 ribu isi rumah di Malaysia dikategorikan miskin. Pada akhirnya, ia dilihat pada proses membuat polisi.

"Pegawai kerajaan ada yang mengatakan tiada kemiskinan jadi tidak perlu program basmi kemiskinan yang terlalu mendalam kerana kononnya kamu hanya perlukan polisi kerajaan.

"Namun realitinya, kemiskinan tidak mampu memadamkan dapatan daripada polisi sosial dan ekonomi," katanya dalam satu sidang media mengenai Laporan PBB terhadap Kemiskinan dan Hak Asasi di ibu negara pada Jumaat.

Laporan berkenaan diterbitkan susulan lawatan 11 hari Alston yang melawat pangsapuri kos rendah, pusat orang kurang upaya, komuniti orang asli dan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan.

Beliau turut bertemu pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, agensi antarabangsa, ahli akademik, dan rakyat bagi mendapatkan gambaran kehidupan di negara ini.

Menurut Alston, kadar kemiskinan terendah iaitu 0.4 peratus yang dicapai pada 2016 adalah kerana Malaysia meletakkan penanda aras kemiskinan sebanyak RM980 sebulan bagi setiap isi rumah.

Bagaimanapun, beliau tidak mencadangkan penanda aras yang sesuai diguna pakai oleh kerajaan.

Sementara itu, Alston turut melihat polisi untuk membangunkan golongan Bumiputera perlu diseimbangkan dengan kepentingan orang Asli di negara ini.

"Polisi Bumiputera perlu selari dengan matlamat memastikan kesejahteraan orang Melayu sama seperti kesejahteraan orang Asli kerana prinsipnya sama.

"Saya harap kerajaan akan terus mempromosikan polisi yang positif, dan jabatan yang berkaitan. Namun saya berharap menteri berkaitan terus mempertahankan hak orang asal serta tidak bersikap pasif," tambahnya.

Alston bagaimanapun mengiktiraf pelbagai inisiatif yang diambil kerajaan selama ini untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, serta menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

Beliau turut mengesyorkan agar kerajaan tidak cuba menyembunyikan fakta sebenar dalam realiti tahap kemiskinan negara.

"Masalah besar adalah realiti politiknya. Tiada kerajaan yang semalamnya berkata bahawa tiada kemiskinan, tapi hari ini ia diubah dan memberitahu bahawa seorang daripada enam orang Malaysia miskin.

"Kerajaan tidak mahu melakukan perkara itu. Kerajaan biasanya mengatakan Malaysia sebuah negara kaya, bakal mencapai status negara berpendapatan tinggi dan rakyat layak mendapat kehidupan yang lebih baik.

"Kita tidak lagi akan menggunakan RM980 sebagai penanda aras lagi, kita akan meningkatkannya. Itu adalah indikasi kehidupan miskin yang tinggi," ujarnya.

Laporan penuh Alston akan dibentang kepada Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada Jun 2020.