Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di New York pada petang Selasa sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Sesi Ke-74.

Pesawat khas yang membawa beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mendarat kira-kira pukul 12.20 petang waktu tempatan di Lapangan Terbang Westchester County di sini.

Ketibaan beliau disambut oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Syed Hasrin Tengku Hussin dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Azmil Mohd Zabidi.

Setibanya Dr Mahathir dan isteri di hotel penginapan, beliau disambut pula oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta delegasi Malaysia.

Pada sebelah petang, beliau dijadual menghadiri Program Sampingan Pemimpin Tertinggi: ‘Krisis Rohingya - Menuju Ke Hadapan’ bersama rakan sejawatnya dari Bangladesh, Sheikh Hasina.

Beliau kemudian akan menghadiri mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte sebelum mengadakan pertemuan dengan Google LLC.

Selain Mark Rutte, Dr Mahathir juga akan bertemu beberapa rakan sejawatnya iaitu Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani - menerusi lebih 20 mesyuarat dan pertemuan peringkat tertinggi.

Pada Rabu, Dr Mahathir akan menyampaikan ucapan pada Forum Pemimpin Dunia di Columbia University diikuti Sidang Kemuncak Dialog Pemimpin Keenam SDG: “Visi 2020-2030” bersama Wakil Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dan Menteri Luar dan Promosi Perdagangan Malta, Carmelo Abela.

Dr Mahathir juga dijadual menyampaikan ucapan bertajuk 'Pengawasan Persekitaran dalam Menangani Kemiskinan untuk Mencapai Pembangunan Mapan untuk Semua' pada program sampingan di Bangunan PBB.

Beliau sebelum itu akan menghadiri mesyuarat bersama Anggota Majlis Hubungan Luar (CFR) dan Forum Pelaburan JP Morgan.

Pada sebelah malam pula, beliau akan menghadiri Majlis Makan Malam bersama Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Dewan Perniagaan AS.

Pada Jumaat pula, beliau akan menghadiri Majlis Makan Tengah Hari bersama delegasi Malaysia sebelum menyampaikan ucapan pada sesi debat umum di Bangunan PBB pada sebelah petang, diikuti sidang media bersama media antarabangsa.

Sebelum berlepas pulang ke London, Dr Mahathir akan mengadakan sidang media penutup bersama media Malaysia yang membuat liputan sempena Perhimpunan Agung PBB Ke-74.