KUALA LUMPUR:Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menarik balik lesen dan permit pusat hiburan seperti kelab malam dan pub yang beroperasi sekiranya ingkar arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana kerajaan sudah berulang kali menegaskan bahawa sebarang aktiviti berkaitan pusat hiburan adalah dilarang sama sekali.

“Trend jumlah tangkapan akibat pelanggaran PKP ini meningkat dari sehari ke sehari khususnya membabitkan kelab malam, pusat hiburan dan pub.

“Arahan dari kerajaan juga amat jelas untuk tidak membenarkan kelab malam dan pusat hiburan kembali beroperasi buat masa ini dan masih di bawah senarai terlarang. Premis seumpamanya tersenarai di bawah larangan kerajaan.

“Namun demikian, tangkapan kerana operasi pusat hiburan berlaku hampir setiap hari walaupun sudah ada makluman dan peringatan dikeluarkan,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Untuk rekod, 12 Disember lalu, tangkapan melibatkan aktiviti pusat hiburan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 292 tangkapan.

“Untuk itu, saya minta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertegas dan tidak bertolak ansur sama ada menarik semula lesen premis terbabit yang sekali gus menghentikan operasi mereka untuk selamanya jika masih berdegil.

“Kita semua bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengekang dan seterusnya memutuskan rantaian penularan COVID-19 maka kerana itulah setiap arahan dan peraturan yang telah dikeluarkan mesti dipatuhi,” jelasnya.