Kerajaan negeri Selangor akan memastikan pihak berkuasa tempatan melantik penganjur terlatih untuk menganjurkan pertunjukan bunga api.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ean Yong Hian Wah berkata kerajaan negeri memandang serius insiden letupan bunga api yang mencederakan 14 orang ketika sambutan ambang tahun baharu di tapak Fiesta Gegar Klang 2016 di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang.

"Majlis Perbandaran Klang (MPK) diarah menjalankan siasatan dalaman dengan telus bagi menentukan punca atau pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kemalangan itu berlaku.

"Tindakan disiplin atau undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang didapati bertanggungjawab atas kesilapan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

MPK merupakan penganjur fiesta berkenaan dari 30 Dis hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad ketika dihubungi berkata siasatan polis masih menyiasat insiden itu.

-- BERNAMA