KUALA LUMPUR:Persediaan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) bagi tahun 2020 tidak akan terjejas walaupun sesi persekolahan secara bersemuka tamat mulai esok (9 Feb), kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

Setiausaha Agungnya Harry Huat Hock berkata walaupun sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka berlangsung kurang sebulan sejak 20 Jan, persiapan SPM telah dilakukan guru serta murid sejak tahun lepas termasuk sesi PdP di rumah (PdPR) bagi menghabiskan silibus subjek.

Jelasnya, tempoh kira-kira dua minggu sebelum SPM bermula pada 22 Feb ini adalah 'pecutan' akhir bagi calon untuk membuat persediaan peperiksaan termasuk latihan teknik menjawab soalan.

"Kini adalah masa untuk mereka (calon) belajar sendiri serta membuat persiapan terakhir dan jika masih memerlukan bantuan secara individu, mereka masih boleh menghubungi guru mereka," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Menerusi edaran pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) bertarikh 4 Feb yang tular baru-baru ini, sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon SPM dan SVM tahun 2020 akan berakhir esok bagi memberi ruang kepada pelajar untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Feb selain membolehkan pelajar menyambut Tahun Baharu Cina.

Pekeliling itu turut menyatakan sekiranya terdapat keperluan mengadakan kelas tambahan bagi calon peperiksaan, pihak sekolah boleh melaksanakan dengan persetujuan ibu bapa serta pematuhan SOP ketat.

Susulan itu, terdapat saranan daripada beberapa pihak termasuk calon peperiksaan supaya sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka di sekolah diteruskan sehingga bermula peperiksaan.

Sementara itu, beberapa calon peperiksaan yang ditemui Bernama berpendapat persiapan mereka menduduki peperiksaan hujung bulan ini tidak terkesan malah ruang masa yang ada dimanfaatkan dengan mengulang kaji pelajaran.

Calon SPM 2020, Mohamad Fikri Mohd Noor, 17, berkata sesi PdP sejak 20 Jan lepas digunakan sepenuhnya dengan mengulang kaji silibus yang diajar ketika PdPR.

Beliau yakin semua calon SPM akan memanfaatkan tempoh akhir ini untuk memantapkan teknik menjawab soalan peperiksaan.

Pelajar SMK Batu Muda, Sentul di sini, Nur Farah Aqilah Huzair, 17, berkata sepanjang persekolahan secara PdP di rumah (PdPR) sebelum ini, guru dan rakan sekelasnya telah menghabiskan silibus subjek.

"Kami masuk sekolah (baru-baru) hanya ulang kaji silibus sebelum ini dan buat latih tubi soalan ramalan dan koleksi soalan peperiksaan tahun-tahun lepas," katanya.

-- BERNAMA