KUALA LUMPUR : Guru kaunseling memainkan peranan penting dan memerlukan kreativiti dalam membantu pelajar yang berdepan dengan cabaran sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Yusni Mohamad Yusop berkata, komunikasi melibatkan guru kaunseling dan pelajar amat membantu ketika mereka berdepan sesi pengajian yang mencabar.

“Apa yang kita boleh buat adalah terus menghubungi pelajar dan perlu ada kreativiti terutamanya terhadap pelajar yang tidak menyertai PdPR.

“Kaunselor perlu ambil tahu keadaan mereka, punca mereka tidak mengikuti PdPR kerana apa yang penting adalah respon tentang aktiviti murid di rumah termasuk maklum balas dari ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Menurut Dr Yusni, keadaan akan menjadi lebih membimbangkan sekiranya tekanan yang dialami murid menjadi punca mereka tidak lagi mempunyai minat untuk teruskan sesi pengajian di rumah.

“Ada kemungkinan situasi ini boleh berlaku apabila mereka (murid) tertekan dan buat keputusan untuk tidak sertai PdPR.

“Kita juga perlu memahami dalam masa yang sama ibu bapa juga berdepan tekanan yang sama berikutan keadaan ekonomi ketika ini.

“Perkara ini dikhuatiri akan memberi kesan terhadap kesihatan mental,” katanya lagi.