SEPANG: Warga Malaysia yang diperdaya sindiket perjudian dan penipuan dalam talian di Kemboja, dipercayai dikurung oleh kumpulan terbabit, sebelum diselamatkan pihak berkuasa negara itu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan, kesemua mereka bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mereka dikurung oleh kumpulan-kumpulan yang membuat sindiket perjudian dalam talian itu. Tiada yang cedera. Kita akan ambil keterangan mereka," katanya.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Kemboja menerusi Polis Negara ASEAN (ASEANAPOL) bagi mengesan kumpulan terbabit.

"Ingin saya ucapkan terima kasih kepada Kementerian Luar (MOFA) dan Kedutaan Malaysia di Kemboja, atas kerjasama erat antara PDRM dan polis Kemboja melalui ASEANAPOL yang beribu pejabat di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan 12 warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket perjudian dan penipuan dalam talian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 di sini hari ini.

Menurut Abd Jalil, siasatan masih lagi dijalankan ketika ini oleh pihak berkuasa kedua-dua negara bagi mengesan ahli kumpulan sindiket berkenaan.

"Ia masih dalam siasatan. Kita sedang meneruskan risikan," katanya.

Tambahnya, mangsa yang diselamatkan dan dibawa ke Malaysia hari ini akan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Ada waris-waris yang sudah menunggu. Kita tiada sekatan apa-apa terhadap mereka. Cuma, kita akan jaga kebajikan mereka," jelas Abd Jalil.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini polis Malaysia mengesan sebanyak 35 laporan melibatkan 45 warga tempatan yang masih terkandas di beberapa negara.

Mereka juga dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.

"Mereka berada di Myanmar, Thailand dan Laos. Itu sahaja yang kita dapat. Kita tahu dan yakin, ada lagi mangsa-mangsa yang waris mereka belum buat laporan.

"Kita minta waris-waris tampil ke depan buat laporan bagi memudahkan pihak kita mengesan di mana kedudukan mangsa-mangsa ini," jelasnya lagi.