Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengkaji untuk menyenaraikan jenayah komersial termasuk penipuan dalam talian (online scam) sebagai satu daripada kategori dalam indeks jenayah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said memberitahu, ia adalah kerana setakat ini jenayah penipuan itu belum dimasukkan di dalam Indeks Jenayah PDRM.



"PDRM sedang mengkaji untuk memasukkan jenayah komersial ini yang menjadi tumpuan yang khusus bagi kita menangani jenayah secara dalam talian.



"Pada masa yang sama, polis juga akan mempertingkatkan perkakasan (peralatan) kita bagi mengesan (penjenayah) supaya jenayah ini dapat kita banteras," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) yang bertanyakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh PDRM bagi membanteras jenayah dalam talian yang semakin berleluasa ketika ini.



Terdahulu, menjawab soalan lisan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung indeks jenayah di Kuala Lumpur sebelum, semasa dan selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail memberitahu, pelaksanaan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah mempengaruhi situasi jenayah negara.



"Indeks jenayah di Kontinjen Kuala Lumpur bagi tempoh sebelum PKP iaitu mulai 1 Januari sehingga 17 Mac lalu merekodkan 2,225 kes, sementara ketika fasa PKP mulai 19 Mac hingga 3 Mei mencatatkan sebanyak 546 kes.



“Sementara, fasa PKPB bermula 4 Mei sehingga 9 Jun pula menyaksikan 708 kes dan bagi tempoh PKPP mulai 10 Jun sehingga 30 Jun, kes jenayah indeks mencatatkan sebanyak 488 kes," katanya.