KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang menggunakan kit ujian air liur di sekatan jalan raya bagi mengesan kehadiran dadah sintetik jenis etomidate dalam kalangan pengguna vape, sebagai langkah mempercepat proses saringan dan membanteras penyalahgunaan bahan terlarang itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Hussein Omar Khan berkata kit berkenaan mampu mengesan kandungan dadah dengan lebih pantas berbanding kaedah sedia ada yang memerlukan ujian air kencing.
Beliau berkata penggunaan kit itu akan dilaksanakan dalam operasi sekatan jalan raya, seiring dengan ujian alkohol, termasuk saringan terhadap penggunaan bahan psikoaktif dalam vape.
“Ini antara langkah yang diambil PDRM bagi mengekang penyalahgunaan vape yang mengandungi dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 108 kes dengan 138 tangkapan direkodkan sepanjang tahun lalu, manakala sehingga 10 Jun tahun ini, jumlah itu meningkat kepada 168 kes melibatkan 267 tangkapan.
Katanya, peningkatan itu membimbangkan kerana bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, malah turut membabitkan remaja termasuk pelajar sekolah.
Beliau berkata trend berkenaan didorong oleh kemudahan mendapatkan vape yang dicampur dadah melalui platform dalam talian, selain harganya yang murah serta sukar dikesan kerana tidak berwarna dan tidak berbau.
“Situasi ini membuka ruang kepada sindiket memasarkan bahan terlarang menggunakan pelbagai istilah komersial seperti ‘piu piu’ dan ‘magic mushroom’,” katanya.
Hussein turut menyuarakan kebimbangan bahawa penyalahgunaan vape mengandungi dadah boleh mengundang risiko keselamatan awam, termasuk kemalangan jalan raya akibat pengguna memandu di bawah pengaruh bahan tersebut.
“Kes seumpama ini telah dilaporkan berlaku di dalam dan luar negara, sekali gus menunjukkan ancaman ini semakin serius,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata polis menyokong cadangan pengharaman sepenuhnya penggunaan vape bagi memudahkan kawalan dan penguatkuasaan, meskipun hanya sebahagian kecil pengguna terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Dalam perkembangan sama, JSJN akan memohon peruntukan khas daripada Kementerian Dalam Negeri untuk memperoleh kit ujian air liur berkenaan, dengan sasaran pelaksanaannya sebelum penghujung tahun ini.
Tambah beliau, PDRM akan terus memperhebat operasi bagi membanteras sindiket yang mengedar bahan kimia sintetik untuk dicampurkan ke dalam vape.