KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong penuh Dasar Kill Switch oleh pemilik akaun bank bagi membanteras penipuan dalam talian.

Dalam sebuah kenyataan, PDRM memaklumkan pendekatan itu dapat mengelakkan individu atau mangsa penipuan mengalami kerugian lebih besar.

Dasar Kill Switch dikuat kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) di institusi perbankan membolehkan pemilik akaun bank menyekat transaksi kewangan sendiri, jika individu itu menyedari telah mendedahkan maklumat perbankan atau menjadi mangsa penipuan.

Dalam pada itu, dasar ini boleh dilaksanakan jika mendapati terdapat transaksi yang meragukan.

Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati dengan panggilan, pautan atau aplikasi telefon diterima dari pihak tidak dikenali.

Orang ramai juga diingatkan untuk tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi termasuk maklumat seperti nombor kad ATM, ID Pengguna, kata laluan perbankan internet serta nombor TAC/OTP kepada mana-mana pihak.

Sekiranya berdepan dengan situasi meragukan, orang ramai dinasihatkan menghubungi bank atau National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika menyedari berlaku penipuan dalam talian.