MALAYSIA
PDRM terajui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan berkuat kuasa serta-merta - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas hadir Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay. - Bernama
PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara rasmi mengambil alih peranan utama menerajui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berkuat kuasa serta-merta, sebagai langkah strategik memperkasa tindak balas negara terhadap jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara rasmi menerajui operasi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berkuat kuasa serta-merta bagi memperkukuh tindak balas terhadap penipuan kewangan dalam talian.
- Langkah ini dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan peningkatan kes penipuan kewangan dalam talian dan ketiadaan agensi peneraju yang jelas sebelum ini.
- NSRC menerima hampir 500 panggilan setiap hari melalui talian 997, dengan jumlah kerugian akibat penipuan mencecah RM1.6 bilion menurut data Majlis Sosial Negara.
"Dua minggu lalu, kita sudah membentangkan kepada Perdana Menteri bahawa PDRM menawarkan diri sebagai peneraju utama dan beliau bersetuju," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, pada Rabu.
Menurut Saifuddin lagi, struktur asas agensi yang terlibat dalam NSRC akan dikekalkan, namun pengendalian operasi kini sepenuhnya di bawah PDRM, termasuk talian 997 yang kekal sebagai saluran utama.
"Kalau sebelum ini pengendalian dilakukan melalui petugas yang dilantik institusi seperti Bank Negara, kini ia akan diambil alih sepenuhnya h PDRM. Operasi NSRC dijamin 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
"Bermakna pada bila-bila masa mangsa menyedari mereka menjadi mangsa scam, mereka boleh terus menghubungi NSRC dan tindakan segera akan diambil,” katanya.
Tambah beliau, pengambilalihan itu turut disokong dengan pengisian sehingga 139 jawatan baharu bagi mengukuhkan keupayaan operasi NSRC secara menyeluruh, selain pemindahan pusat operasi daripada Bank Negara ke lokasi baharu yang akan ditentukan.
"Penyelarasan pengisian jawatan dan keperluan logistik kini sedang diuruskan antara KSU (Ketua Setiausaha) KDN dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.
Beliau berkata, usaha terbabit bukan hanya membabitkan aspek respons, tetapi juga penelitian semula terhadap peraturan semasa serta peranan institusi perbankan dalam mempercepat tindakan membekukan akaun serta memulangkan dana kepada mangsa.
"Harapan rakyat mudah, akaun dibekukan segera, duit tak sempat lesap, kalau boleh dipulangkan. Ini fokus utama kita. Sebab itu PDRM tampil ke depan, ambil tanggungjawab penuh dengan kerjasama semua pihak," katanya.
NSRC yang diwujudkan pada 2022 adalah usaha sama antara NFCC, PDRM, BNM dan MCMC serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi.
NSRC menghimpunkan sumber dan kepakaran daripada kesemua pihak bagi membanteras penipuan kewangan dengan lebih cepat dan berkesan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami