KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu maklum balas pihak berkuasa Singapura dan Amerika Syarikat untuk membawa pulang aset bernilai RM93.2 juta milik bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, permohonan untuk membawa pulang aset berkenaan telah dihantar kepada pihak berkuasa negara-negara terlibat.

"Permohonan untuk membawa pulang aset berkenaan datang daripada Jasmin Loo dan setakat ini respons yang kami terima daripada pihak berkuasa di sana sangat baik," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kapcai Ride Anti Scam JSJK di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Jasmin Loo, 49, dipercayai merupakan individu yang mempunyai maklumat berkenaan 1MDB dan wanita itu ditahan pada 7 Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, Ramli berkata, siasatan masih diperingkat awal.

"Kita telah menjalankan siasatan, namun ia masih diperingkat awal," katanya.

Media tempatan pada Sabtu lalu melaporkan, Roger Ng yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat kerana membantu menggelapkan berbillion dollar dana 1MDB.

Roger Ng dibawa pulang ke Malaysia oleh pasukan khas PDRM bagi membantu siasatan pihak berkuasa negara ini, berkaitan 1MDB. - Sinar Harian