KUALA MUDA:Lima individu dari kumpulan yang dikenali sebagai ‘Geng Fizi’ akhirnya diberkas selepas aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak 14 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kelima-lima suspek itu yang menyasarkan kediaman mewah ditahan antara 19 September hingga 1 Oktober lalu di sekitar Kupang, Baling, Bukit Selambau dan Jalan Pudu di Kuala Lumpur.

“Seorang daripada yang ditahan itu adalah bapa kepada salah seorang suspek yang ditahan untuk membantu siasatan.

“Penahanan mereka adalah susulan laporan yang dibuat oleh seorang wanita iaitu suri rumah berusia 54 tahun yang kerugian RM2 juta selepas rumahnya di Bandar Utama, dipecah masuk pada 14 September lalu,” katanya.


Tambah beliau, dalam kejadian jam 2.40 petang itu, mangsa yang baru pulang ke rumah ketika mendapati pintu pagar rumahnya terbuka luas dan terdapat kesan benda berat jatuh di atas rumput.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kelima-lima suspek itu yang menyasarkan kediaman mewah ditahan antara 19 September hingga 1 Oktober

“Apabila dia lihat pintu ada kesan umpil dan pintu tak boleh buka. Selepas dapat masuk, dia lihat sejumlah besar barangan telah hilang.

“Barangan berharga termasuk wang tunai, pelbagai koleksi barang dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1.7 juta juga lesap dalam insiden itu,” ujarnya.

Beliau berkata, dua dari suspek itu adalah suspek yang terbabit dalam kegiatan pecah rumah manakala seorang lagi pembeli barang yang dicuri dan dua lagi ditahan untuk membantu siasatan.

“Hasil penahanan itu, polis berjaya merampas sebuah unit mesin pemotong besi, wang tunai RM105,000 dan 12 beg tangan mewah pelbagai jenama.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 26 hingga 56 tahun dan hasil semakan mendapati, empat daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Tambah Adzli, suspek utama kes itu yang berusia 31 tahun dikesan mempunyai 37 rekod jenayah lampau membabitkan 31 kes jenayah dan enam kes dadah.

Tegasnya, hasil ujian saringan awal mendapati dua daripada suspek yang ditahan itu positif methampetamine dan suspek juga pernah terbabit dalam beberapa kes pecah rumah lain di sekitar daerah ini.

Antara barangan yang dirampas daripada suspek.

“Tiga suspek direman sehingga 9 Oktober depan untuk siasatan lanjut sementara dua lagi suspek diberi jaminan polis selepas keterangan diambil. Kami sedang mengesan seorang wanita berusia 20 tahun untuk membantu siasatan kes.

“Siasatan mendapati kumpulan ini bergiat aktif sejak awal tahun ini di sekitar kawasan Sungai Petani dan dengan tertumpasnya Geng Fizi ini, polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah dalam daerah ini,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.