IPOH: Seorang pegawai bomba cedera manakala isterinya parah apabila kenderaan jenis Proton Persona yang dipandunya merempuh bahagian bucu belakang lori sampah yang diparkir di tepi jalan, berdekatan Taman Chepor Impian di sini.

Difahamkan kejadian yang berlaku kira-kira pada jam 1.30 tengah hari itu turut membabitkan dua orang kanak-kanak lelaki, yang merupakan anak pasangan tersebut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubungan kejadian itu pada jam 1.33 tengah hari.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Persona telah berlanggar bahagian belakang lori sampah yang diparkir di tepi jalan.

"Mangsa yang terbabit iaitu pemandu kereta, Taufik Asyarun Zainuddin merupakan pegawai kanan bomba dari bahagian Keselamatan Kebakaran di ibu pejabat JBPM Perak (Meru).

"Pemandu lelaki berusia dalam lingkungan 30-an cedera di bahagian kaki, isterinya yang duduk di bahagian penumpang cedera parah di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri. Dua orang kanak-kanak lelaki pula cedera di kaki," katanya pada Ahad.

Menurut jurucakap itu lagi, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang kelengkapan sempena perayaan.

Katanya lagi, anggota bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa dan membuat rawatan awal, seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Difahamkan kesemua mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut.

Operasi yang diketuai oleh PPgB Sharudi Mohd Halil itu tamat pada jam 2.29 petang.