KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan polis yang disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah di sekitar ibu negara telah ditukarkan ke jabatan lain sementara menunggu laporan penuh siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pegawai berpangkat DSP yang juga seorang Pegawai Turus dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur itu telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

"Kita sahkan bahawa pegawai itu pun telah kembali bertugas dan kita tempatkan dia di tempat lain sementara menunggu apa-apa keputusan siasatan.

"Ketika ini belum ada keputusan SPRM, siasatan masih dijalankan dan polis sedang menunggu keputusan dan laporan penuh daripada SPRM," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Wangsa Maju di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Majlis Serah Terima Tugas itu melibatkan pelantikan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu ACP Mohamad Lazim Ismail menggantikan Supt Ashari Abu Samah yang akan bertukar ke IPD Alor Gajah, Melaka.

Rusdi berkata pihaknya turut menjalankan siasatan dalaman melibatkan pegawai berkenaan

"Kami lakukan siasatan secara 'parallel'.., siasatan ini kadang-kadang kita tunggu hasil keputusan siasatan SPRM dan kadang-kadang kita akan buat keputusan lebih awal," katanya.

Beliau berkata pegawai itu disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

-- BERNAMA