Skip to main content

Malaysia

Pegawai penjara lawat kediaman Najib di Langgak Duta

Sumber: Astro AWANI
Kelihatan van balai polis bergerak dan kereta peronda di hadapan pos kawalan kediaman Najib di Langgak Duta, Kuala Lumpur, pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suasana di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, di sini, mencuri tumpuan hari ini susulan kehadiran beberapa pegawai daripada Jabatan Penjara Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tinjauan pengamal media di lokasi mendapati kehadiran kenderaan pihak berkuasa termasuk van balai polis bergerak dan kereta peronda di hadapan pos kawalan kediaman berkenaan.

Kehadiran pegawai-pegawai terbabit dipercayai berkait rapat dengan proses penilaian teknikal dan audit keselamatan premis sebelum sebarang langkah pewartaan kediaman dimuktamadkan.

Bagaimanapun, bercakap kepada Astro AWANI, Pegawai Khas kepada Najib, Ahmad Lutfi Azhar mengesahkan setakat ini belum ada sebarang perkembangan baharu atau ketetapan rasmi yang boleh dikongsikan.

Menurutnya, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan secara rasmi menerusi kenyataan media sama ada daripada pihaknya sendiri atau kepimpinan UMNO.

Kehadiran pegawai keselamatan di kediaman itu berkait langsung dengan kerangka kuasa Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 (Akta 537) yang memperuntukkan kuasa mengisytiharkan mana-mana premis atau rumah sebagai suatu penjara menerusi Warta Kerajaan.

Sebelum warta dimeterai, pihak berkuasa perlu menilai integriti kawalan fizikal berpagar, keupayaan menempatkan pos kawalan syif 24 jam, kestabilan rangkaian peranti pemantauan elektronik (EMD) berserta zon geofencing, serta ketetapan had pelawat dan alat telekomunikasi.

Pada masa sama, pelaksanaan baki hukuman secara tahanan rumah sehingga Ogos 2028 turut meletakkan prasyarat penyelesaian denda bernilai RM50 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengesahkan parti menggerakkan tabung sumbangan khas bagi melunaskan jumlah berkenaan secepat mungkin.

Isu ini timbul susulan pertikaian kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan berhubung prinsip kedaulatan undang-undang yang kemudiannya dijawab Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau menegaskan, kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah sah di sisi undang-undang tertinggi negara dan bukannya tindakan melangkaui undang-undang, memandangkan fungsi kehakiman dan kuasa pengampunan merupakan dua mekanisme perlembagaan yang berbeza.

Must Watch Video

Advertisement