MALAYSIA
Pegawai polis maut kemalangan dua motosikal di Ipoh

Seorang pegawai polis maut apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan melanggar sebuah motosikal lain di Kilometer 287.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, pagi tadi. - Foto Sinar Harian
IPOH: Seorang pegawai polis maut apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan melanggar sebuah motosikal lain di Kilometer 287.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 9.40 pagi itu, Insp Muhamad Helmi Hakim Muhamad Raus, 30, yang berkhidmat sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mangsa menunggang Honda CBR350RS telah melanggar sebuah motosikal Honda Wave dari arah belakang yang ditunggangi seorang lelaki berumur 16 tahun.
"Kejadian itu menyebabkan motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.Abang Zainal Abidin berkata penunggang Honda Wave itu pula hanya mengalami kecederaan ringan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami