Seorang pegawai penguat kuasa trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang maut akibat dirempuh Mat Rempit dalam Ops Roda/Rempit di KM58, Jalan Batu Pahat-Mersing di sini awal pagi tadi.

Beliau meninggal pada pukul 12.45 tengah hari di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini. Mangsa sebelum ini dilapor berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad berkata jenazah Inspektor Margaret Tagum anak Goen, 32, telah dituntut suaminya Leon anak Bahak, 37, untuk disemad di Bau, Sarawak.

Kejadian berlaku pada pukul 2.40 pagi ketika Tagum sedang melakukan sekatan jalan raya bersama 20 anggota trafik dan pasukan sukarelawan polis.

Seorang daripada sekumpulan Mat Rempit yang datang dari arah Mersing menuju bandar Kluang telah merempuh pegawai tersebut ketika mereka cuba meloloskan diri dari sekatan itu.

Rempuhan itu menyebabkan Tagum patah tangan, tulang pinggul dan kaki selain mengalami pendarahan dalaman.

Rusli yang diiringi Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham turut melawat mayat mendiang di hospital.

Beliau berkata penunggang yang berumur 17 tahun itu dapat ditahan selepas dia terjatuh dari motosikalnya manakala enam rakannya yang melarikan diri turut ditahan kemudiannya.

Katanya kesemua mereka yang berumur antara 14 hingga 20 tahun itu didapati tidak mempunyai lesen dan dipercayai sedang berlumba ketika kejadian.

Menurut Rusli, kesemua mereka kini direman selama empat hari.

Sementara itu Leon yang merupakan anggota tentera di Kem Mahkota di sini merasa terkilan kerana isterinya dilanggar ketika menjalankan tugas.

Mereka mendirikan rumah tangga sejak enam tahun lepas.