KUALA LUMPUR: Peguam utama kepada bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, semua pertuduhan jenayah yang dikenakan terhadap anak guamnya tidak jelas dan dibuat dengan niat tidak baik.
Datuk Hisyam Teh Pok Teik berkata demikian ketika prosiding perbicaraan kes berkenaan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Advertisement
Hujah beliau, pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin tidak menyatakan secara terperinci bagaimana kesalahan yang didakwa itu dilakukan oleh tertuduh.
Menurutnya, ketiadaan maklumat khusus dalam pertuduhan tersebut menyukarkan pihak pembelaan untuk menyediakan hujah dan strategi mempertahankan Muhyiddin di mahkamah.
Hisyam berkata, pertuduhan berkenaan tidak menyatakan dengan jelas bagaimana tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.
“Saya dengan penuh hormat berhujah bahawa pertuduhan ini tidak sah di sisi undang-undang kerana tiada butiran yang menerangkan bagaimana tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.
“Undang-undang menetapkan bahawa cara sesuatu kesalahan itu dilakukan mesti dinyatakan dengan jelas oleh pihak pendakwaan dalam pertuduhan,” katanya.
Beliau menambah, butiran berkaitan tindakan atau langkah yang diambil oleh tertuduh berhubung sesuatu keputusan juga sepatutnya dinyatakan secara khusus dalam dokumen pertuduhan.
Menurut Hisyam, pihak pembelaan pada ketika ini tidak mengetahui secara jelas asas atau aduan sebenar yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan terhadap tertuduh.
“Kami seolah-olah dibiarkan tanpa mengetahui secara terperinci apakah sebenarnya dakwaan pihak pendakwaan terhadap tertuduh, dan keadaan ini menjejaskan kami dalam menyediakan pembelaan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan, isu yang dibangkitkan pihak pembelaan itu sebelum ini sudah dikemukakan dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan.
Beliau berkata, pihak pembelaan masih boleh mengemukakan hujahan tersebut pada peringkat akhir kes pendakwaan sekiranya mereka mahu berbuat demikian.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin kemudian memutuskan supaya prosiding perbicaraan diteruskan seperti yang telah dijadualkan.